Tuesday, April 22, 2008

Odisi Seorang Budak Kampung

ODISI SEORANG BUDAK KAMPUNG
Oleh Long Ahmad Burhanuddin bin Long Hassan

Ini adalah cerita perjalanan seorang budak berusia 12 tahun dari sebuah kampung ke sebuah kota. Perkelanaan in membuka mindanya kepada alam luar buat pertama kali dalam hidupnya. Berbanding pengembaraan lain yang akan ditempuhi beliau sepanjang hayatnya hingga kini, perjalanan pertama ini yang paling terpahat disanubarinya dan menjadi kayu pengukur kepada odisi-odisi lain, zahir atau batin.

Aku masih ingat ketika mendapat keputusan untuk masuk ke STAR pada penghujung tahun 1970. Beberapa bulan sebelum itu, beberapa pelajar yang kononnya cemerlang dalam daerah telah dikehendaki menduduki peperiksaan khas untuk melayakkan diri ke sekolah berasrama penuh. Apabila mendapat berita kejayaan, aku, budak berusia 12 tahun yang tinggal di sebuah kampung terpencil di tepi pantai Laut China Selatan langsung tak tahu apa makna itu semua. Salah seorang bapa saudaraku yang baru menjejakkan kakinya ke universiti pada waktu ini mengucapkan tahniah secara bersungguh-sungguh. Lagi sekali aku katakan, aku tak tahu sebesar habuk pun, apakah ertinya semua itu. Bapaku seorang guru merasa amat bangga dan memberitahu kepada rakannya yang menjadi stringer kepada akhbar Berita Harian tentang “pencapaian” anaknya. Jadi tak lama selepas itu keluarlah satu berita dalam kolum akhbar berkenaan menceritakan pasal budak kampung dari Sekolah Kebangsaan Kemasek yang berjaya ke STAR, Ipoh. Keratan akhbar itu masih ada dalam simpanan bapaku sehingga ke hari ini. Dan aku pada ketika itu masih tak tahu dan tidak sedar akan apa signifikannya semua itu.

Minggu-mingu terakhir tahun 1970 yang juga musim tengkujuh di pantai timur merupakan tempoh yang memang sibuk bagi keluargaku. Melihatkan senarai barang-barang yang perlu dibawa memang memeningkan kepala bapaku, memikirkan ongkosnya. Aku tak tahu bagaimana tetapi akhirnya semua tu dapat disediakan dengan sempurna. Aku katakan sempurna kerana kami tidak berani membuat sebarang pengurangan kepada apa yang disenaraikan. Maklumlah nak masuk sekolah besar, nanti kalau tak penuhi syarat, susah pula anak itu disana. Kalau senarai itu kata kena bawa empat pasang stokin, orang tuaku akan akan sediakan empat pasang. Empat helai seluar dalam, disediakan empat helai seluar dalam. Sepanjang sekolah rendah aku tidak pernah pun pakai seluar dalam. Lagipun aku anaknya yang pertama yang dapat masuk sekolah asrama. Tidak ada pra-peristiwa yang boleh dijadikan iktibar. Aku tidak tahu benar atau tidak tetapi rasanya orang tuaku terpaksa membuat pinjaman peribadi dari kerabat terdekat untuk membereskan perjalanan anaknya yang bakal ke kota Ipoh ini.

Bagaimana untuk mengurangkan kos perjalanan? Ketika para pakar menemui jawapannya di zaman mutakhir ini untuk mengurangkan kesesakan jalanraya, orang tuaku sudah pun memikirkannya hampir empat dekad yang lalu. Car pool! Ada beberapa lagi pelajar dari daerah akau yang akan ke sekolah berasrama penuh iaitu ke Sekolah Dato’ Abdul Razak di Tanjung Malim. Bapa kepada salah seorang dari mereka, yang merupakan kenalan bapaku mempunyai kereta rakyat buatan German, yakni Volkswagon. Jadi rancangannya ialah, dua orang dewasa dan empat budak sekolah akan berkelana dari Kemaman ke Ipoh dalam sebuah volkswagon yang injinnya di dalam bonet belakang.

Begitulah rencana kami. Dan kami merancang dan merencana tetapi sesungguhnya Allah adalah Perancang Yang Maha Sempurna. Penghujung tahun itu dan awal tahun 1971, negeri-negeri pantai timur yakni Kelantan, Terengganu dan Pahang dilanda banjir yang sangat besar. Ada orang kata sama besar dengan banjir tahun 1926. Jurutera-jurutera sekarang memanggilnya banjir kekerapan 50 tahun. Jambatan yang merentangi Sungai Pahang di Temerloh roboh di hentam oleh balak-balak yang dibawa arus banjir yang melempahi sungai berkenaan. Dengan itu hubungan pantai timur dengan pantai barat semenanjung terputus. Aku percaya bapa-bapa kami amat gusar pada ketika itu memikirkan kesulitan yang dialami untuk menghantar kami ke sekolah-sekolah besar di Perak. Dan seperti biasa aku masih tidak tahu apa maksud ini semua. Bukan saja tidak tahu tetapi juga tidak sedar yang aku tidak tahu.

Seminggu selepas penggal persekolahan bermula, aku masih lagi lagi di Kemaman. Kemudian dapatlah berita daripada Radio Malaysia memberitahu bahawa jalan ke pantai barat melalui feri di Jerantut sudah boleh dilalui. Ini bererti kami akan melalui Jerantut, Raub, the Gap, Kuala Kubu Baru dan naik ke Tanjung Malim dan Ipoh. Perjalanan ini memang mencabar. Demi masa depan empat orang budak-budak itu, bergeraklah sebuah volkswagon dari Kemaman di satu hari yang bersejarah awal 1971.

Itulah pertama kali aku mengembara dengan kereta untuk perjalanan yang jauh. Itulah pertama kali aku melihat bagaimana papan tanda jalan dan batu tanda jarak kelihatan seperti ada lampu didalamnya apabila disuluh lampu kereta diwaktu malam. Itu juga pertama kali aku melihat lampu jalan berwarna kuning apabila bermalam di sebuah rumah tumpangan di pekan Raub. Kami bangun awal keesokan harinya untuk meneruskan perjalanan. Pekan Raub yang aku lihat pada malam itu dari bilik hotel kelihatan begitu sureal dan imej kebandaran tersebut terus terpahat di sanubariku sehingga hari ini. Pun aku tidak banyak ambil peduli sangat tentang apa yang ada dihadapanku merasakan keselamatan perjalanan dengan bapaku.

Awal pagi keesokan harinya kami berlepas ke Tanjung Malim dan meninggalkan rakan-rakan sekampungku di SDAR. Kemudian kami meneruskan perjalan ke Ipoh dan tiba pada waktu tengahari. Setelah meronda-ronda pekan Ipoh mencari kedai makan, akhirnya kami menjamu selera makan tengah hari di sebuah kedai India Muslim. Istilah mamak ketika itu tidak ada dalam kasa kata aku. Dan buat pertama kalinya aku merasai kari ikan yang sangat berlainan daripada kari ikan yang aku biasa makan di rumah. Aku tidak tahu pada ketika itu bahawa untuk tempoh enam tahun selepas itu, aku akan terus menikmati rasa kari itu di dewan makan STAR setiap kali kami dihidangkan lauk kari ikan atau lebih dikenali dengan nama kari anakonda.

Aku mendaftar di STAR tengahari itu dan bapaku dengan rakannya kembali ke kampung. Perjalanan pulang mereka pun tidaklah mudah. Tambahan pula keadaan banjir masih belum pulih sepenuhnya. Apabila episod ini dikenang kembali didalam kematangan usia, terusik perasaan ini akan apa yang rela dilakukan oleh seorang bapa (dan juga ibu) demi kebahagiaan anaknya di masa mendatang.

Apa yang aku ingat sepanjang penggal pertama ialah aku teramatlah sangat rindukan suasana kampung halaman. Semua yang dialami adalah baru. Belajar dalam Bahasa Orang Putih. Makanan tak ada yang sama dengan masakan di kampung aku. Nasi lemakpun berlainan. Laksanya lagilah berbeda. Nasi dagang dan laksam usah haraplah nak jumpa.

Tempat aku di dalam Kelas Peralihan (Remove Class) ialah di sudut kanan di baris hadapan. Ini adalah tempat yang orang tidak mahu tetapi memandangkan aku masuk kelas seminggu lebih lewat, tiada pilihan untukku. Aku tidak ingat siapa di kiri tetapi tidak akan lupa siapa duduk dibelakang. Aku rasa saudara aku ni dapat merasakan kejanggalan aku untuk bergaul dan mensesuaikan diri dalam suasana baru. Oleh kerana dia berasal dari Negeri Perak, agaknya tidaklah rasa terasing sangat baginya suasana di STAR itu dan juga yakin diri beliau lebih tinggi. Beliau banyak memberi panduan tentang peraturan dan apa yang perlu dibuat. Perkara-perkara kecil tetapi bagi orang baru seperi aku ianya sangat bernilai. Legasi beliau kepadaku ialah aku sentiasa berusaha untuk membuat orang baru berasa selesa, contohnya kakitangan baru atau ipar baru dan sebagainya.

Dengan itu berakhirlah perjalanan seorang budak kampung dari desa yang ketika itu baru menerima bekalan elektrik ke kota yang lampu jalannya berwarna kuning. Dan bermulalah perjalanan baru yang akan memerah enam tahun daripada hayatnya. Untuk menukilkan rasa hati, fikrah, emosi, dan rohani di sepanjang enam tahun tersebut akan memerlukan sebuah naskah yang panjang lebar. Memadai dikatakan, diakhir odisi tersebut dalam tahun 1976, terhasillah seorang remaja yang masih blur-blur tentang halatuju hidupnya, mempunyai pandangan dunia yang tidak terikat kepada daerah dan negeri, terbuka kepada apa saja pendapat dan opini, tidak pula terlalu yakin kepada dirinya sendiri, merasa terubat dengan pengetahuan bahawa dia mempunyai kawan diserata semenanjung, bersemangat amat kental terhadap alma maternya sehingga ada masanya mencapai tahap fanatisme, dan kadang kala kelihatan seperti orang kurang siuman meleret senyuman sendirian ketika menunggu bas apabila dia mengenangi gelagat dan pengalaman yang dilalui bersama rakan-rakannya di satu tempat bernama STAR.

(Bakal diterbitkan bersama nukilan rakan-rakan seangkatan STAR 1971-1976)

1 comment:

Nan Nurhayati said...

baru2 ni ti jumpa orang yang tulis berita kemasukan abg wan ke STAR. dia bapa kepada one of my close friend. Encik Md Zaman namanya.
Dan sekarang salah seorang anaknya jadi anak murid dlm kelas quran mingguan di taman pelindung perdana.